Monthly Archives: August 2009

Ramadhan 1430H & Abah

Standard

Hari ini adalah hari ke 7 dan kini baru mahu berbicara mengenainya. Ramadhan kali ini membawa banyak makna buat saya dan mungkin ia bawa banyak makna juga pada orang lain. Yang pasti, saya mentasbihkan rasa syukur saya pada Yang Maha Kuasa kerana memberi saya peluang bernafas dan mencari redha di Ramadhan kali ini.

Saya telah berpindah dan kini memblog di rumah baru. Terima kasih kepada si comei Mas yang fotonya menjadi foto pertama tergantung di rumah baru saya di atas bantuannya memenuhkan rumah saya dgn nukilan saya yg dulu-dulu.  Dgn ilmu IT secupak yang saya punya, terkais-kaislah tentunya saya untuk menyediakan rumah ini kalau tanpa bantuannya.

Saya mahu bicara tentang abah saya. Ramadhan kali ini, gembira mak melangit tidak kepalang. Doa mak untuk melihat abah menjadi sebahagian tulang belakang surau di daerah hati digantung menjadi kenyataan. Abah saya ini masa kecilnya dulu seperti yang sering dikhabarkan oleh nenda saya, seorang tahfiz yang pandai mengaji tetapi sering membenamkan dirinya ke daerah malu. Kami maklum kerana abah saya, kalau dia membaca al-quran, suara dan alunan bacaannya sering membuat kami adik-beradik sangat terkesan sekaligus membuat hati kami berdecap-decap kagum. Tapi abah kami ini sering tidak suka menonjolkan diri dan sering kali juga mengelak potensi dirinya diketahui orang lain. Selalu juga saya melihat abah saya sengaja melambat-lambatkan hayunan kakinya ke surau semata-mata mengelak diri dari di minta menjadi bilal melaungkan azan.

Tetapi, Ramadhan kali ini abah tak mampu mengelak lagi. Beberapa hari sebelum Ramadhan muncul di satu ketika tabir Maghrib, abah tertegun bila tiba-tiba disapa Ustaz Fatah dengan senyum yang memujuk abah untuk melaungkan azan. Abah serba-salah, gugup menahan debar langsung dengan malu yg tebal melaksanakan juga permintaan itu sebagai tanda hormat. Ternyata, Ustaz Fatah sedar potensi diri abah. Mungkin tanpa abah sedar, ada orang lain juga yang sedar dan ralit memerhati abah dan potensi yg dibawanya sering. Itu lah pencetusnya. Kesekian kalinya, abah sudah sering lalu mangli melaungkan azan hingga dipilih menjadi Bilal 2, Surau Desa Vista. Impian mak termakbul, alhamdulillah.

Subuh tadi, usai bersahur kanda minta saya dengar betul-betul sayup-sayup suara dari corong surau memperdengarkan bacaan al-quran. Ternyata suara abah. Ke empat-empat buah-hati saya yg turut mencuri dengar juga mengesahkan…” Itu suara atuk la”. Rangkaian alunan suara abah bagai untaian salji dalam hati. Nah, dengan pantas telefon saya capai, dicorong sana mak menyambut. Mengiyakan dan mengkhabarkan satu cerita lucu mengenai abah.

Cerita mak, sekarang abah dah ada jadual. Jadual untuk melaungkan azan dan jadual untuk memperdengarkan bacaan Al-Quran kepada setiap penghuni daerah hati digantung setiap kali sebelum masuk waktu solat subuh. Bagaimana terpilih? Cerita mak lagi, ketika waktu abah sering membaca al-quran seorang diri di surau, teman-teman abah lalu pasangkan mic kecil di baju abah. Lantas suara abah bertempiaran didengar ramai orang tanpa abah sedari. Lalu, sejak itu, abah sering menjadi pilihan. Suara abah mahu didengar orang juga sering.

Abah dengan hati disuapi resah langsung terluah pada dahinya yang bergaris-garis akhirnya setuju menerima tanggungjawab. Dan mak menjadi orang yang paling gembira. Tidak sia-sia doa yang mak panjatkan setiap hari.

Bagi orang lain, peristiwa ini mungkin tidak beri kesan langsung, tetapi bagi saya dan mak….kerana sosok lelaki itu adalah abah saya. Saya sangat-sangat terkesan…….

Rumah baru??

Standard

Semenjak 2-3 minggu ini, saya berkira-kira dan berfikir-fikir untuk mencari rumah baru. Bukan! Bukan  mencari rumah tempat hati digantung..tapi rumah baru buat blog saya.  Mas simanis dari unit IT daerah rezeki mengesyorkan wordpress atau blogspot antara yg senang dikendali oleh kebanyakan perempuan seperti saya. Tidak mahu saya pada yang remeh temeh kerana ilmu IT saya pun secupak belum tentu. Yang terbaik biarlah yg biasa-biasa saja dan tidak memeningkan kepala tentunya.

Dalam berkira-kira itu saya teringat yang saya pernah mewujudkan blogspot satu ketika dulu. Ya..pernah. lalu saya cuba dan hasilnya betul. Blogspot itu rupanya tempat saya melepaskan gelora dan gejolak hati ketika saya diduga dan dilanda kesedihan dulu-dulu. Membaca kembali tulisan yg saya tulis itu membuat saya malu sendiri selanjutnya saya bersyukur kerana dugaan itu telah saya harungi dengan baik. Akhirnya saya memutuskan untuk mencuba wordpress untuk blog terbaru saya. Untuk blogspot…saya fikir biarlah ia terus jadi blog yg menyimpan rasa hati saya tentunya. Sekiranya saya dilanda sedih, kacau gemilau dan dugaan nanti, saya tahu dirumah mana harus saya singgah dan luahkan semua. Sekurang-kurangan saya punya tempat bagi melampiaskan rasa hati saya bukan….

Bagi wordpress…..akan saya mulakan nanti selepas ilmu dari simanis noris dan mas dapat saya timba secukupnya. Rumah baru..haruslah lebih baik dari rumah yg lama sekurang-kurangnya. Walaupun tak punya perabut…sekurang-kurangnya saya mahu cat yg baru..atau mungkin gantungan foto buat penyeri ruang.

Blog ini nampaknya akan saya tinggalkan. Biarlah….saya perlu perubahan saya kira………

EGO

Standard

Saya belajar sesuatu hari ini. Sesuatu yang saya fikir harus saya nukil dan kongsikan disini. Ini dari seseorang yang langsung tidak saya kenal tapi amat maklum dgn tulisan beliau. Dingin dan menyenangkan.

Antara kata beliau yang sering berkicau-kicau dalam kotak fikiran saya sekaligus membuat hati saya berdecap kagum ialah….

Dalam hubungan sesama manusia itu, elak berfikir pada perkara yang menuju ke arah kita sahaja. Fikirkan perkara yang menuju ke arah orang lain juga terutama pasangan dan teman-teman sekeliling kita.

Begitulah juga seharusnya hubungan kita dengan Tuhan. Elak terlalu memikirkan hanya ke arah kita. Berfikir semoga Tuhan menerima amal kita yang seadanya, berfikir semoga Tuhan sentiasa memaafkan dosa-dosa kecil kita yang berulang, berfikir semoga Tuhan mengampunkan taubat kita yang sambil lewa, menerima ibadah kita yang separuh hati, solat kita yang tergesa-gesa, berfikir semoga Tuhan tahu kita sedang menunggu keikhlasan itu datang.

Cuba halakan fikiran kita ke sana. Fikirkan apa yang Tuhan mahukan daripada kita? Apa? Tuhan mahukan kita sebagai hambaNya yang patuh, yang tahu diri, yang berusaha, yang semuanya yang baik-baik. Tidak mahu kita melanggar perintahNya, tabah dalam ujianNya dan mahu kita berusaha mencari keikhlasan itu sendiri.

Itu yang sering manusia lupakan, untuk berfikir ke sana. Apatah lagi disaat dia sedang dicuba….diuji. Mudah sekali hanya berfikir ke arah dirinya sendiri.  Bertanya apa salah diri sehingga begitu? Bertanya bila lagi kebaikkan itu turun dari langit. Semua fikiran itu mengarah ke arah dirinya semata.

Sekiranya sahaja manusia berfikir ke sana, bertanya apa kebaikan yang Tuhan cuba tunjukkan, apa ingatan yang mahu Dia sampaikan, InsyALLAH…kita akan tersenyum!

Sekiranya kita sesama manusia, kita mampu lagi menjawap soalan…”Apakah kamu tidak pernah memikirkan apa yang saya mahu?”.

Tetapi…bagaimana sekiranya Tuhan Yang Maha Kuasa bertanya kepada kita soalan yang sama?

APA AGAKNYA YANG MAHU KITA JAWAB KEPADA TUHAN???

Hati saya sangat terkesan sekaligus membenamkan hati saya ke daerah malu. Malu saya pada Tuhan……