Monthly Archives: March 2010

Sebuk

Standard

Seringkali saya sukakan kesebukan. Waima kesebukan apa sekalipun…kerja daerah rezeki, kerenah anak2 dirumah termasuk menyibukkan diri dgn nonton rancangan di kaca tv.

Sekurang-kurangnya….fikiran saya tidak menerawang terbang nun jauh ke dua Kuala memikirkan dara dan bujang saya. Biasanya sekiranya menerobos sekali-sekala, tentunya rasa rindu dan syahdu muncul tanpa diduga dan itu saat yg sering tidak saya gemar.

This slideshow requires JavaScript.

Bertuah dan bersyukur saya kerana mak dan abah selalu di depan mata…….

MARA Kuala Klawang

Standard

Tadi siang, seharian kami di bandar kecil yang asing..Kuala Klawang.

Bujang saya, Muhammad Shafiq berjaya terpilih menjadi 28 warga MARA bagi panggilan kedua di sini. Syukur yang teramat saya dan keluarga panjatkan kepada Yang Maha Berkuasa.

Perjalanan pagi berjalan sangat lancar hasil tunjuk jalan kawan2 di daerah rezeki. Hampir setengah hari berlalu bagi tujuan pendaftaran, taklimat, pembelian barangan di koperasi dan penyediaan sendiri bilik maktab. Mencecah tengahari dengan kepanasan yang membahang dan diduga dengan penghawa dingin kereta kami yang tidak berfungsi beberapa hari kebelakangan ini sangat-sangat mencabar kesabaran kesemua isi kereta.

Qaseh saya yang badannya panas sejak semalam pun seakan sudah tidak berdaya lalu sebelum mengisi perut kami singgah di Klinik Kesihatan Jerebu tika waktu rehat tengahari sedang dinikmati. Niat kami agar sikecil Qaseh dapat diberikan rawatan dan kalau tidakpun sekurang-kurangnya sementara menanti waktu rehat berakhir..dapat juga kami berteduh nyaman hawa dingin dibangunan klinik. Demam si kecil saya mencecah 39.5 dan langsung dirawat segera. Terima kasih tidak terhingga buat staff nurse dan doktor yang merawat Qaseh saya tanpa mengira waktu rehat. Baik hati  sungguh warga Kuala Klawang/Jelebu.

Sewaktu jam hampir ke angka lima, bujang Muhad Shafiq kami tinggalkan. Kawan2 sebilik yang datang dari Kajang, Seri Kembangan dan Bukit Changang nampaknya kian serasi.  Bujang saya ini yang karektornya “easy going” mengurangkan sedikit kerisauan kami berdua sewaktu melangkah pulang.

Maktab kami tinggalkan dengan segunung harapan agar nanti bujang saya mampu menjadi produk MARA yang boleh dibanggakan. InsyaALLAH.

Jakarta & Bandung

Standard

This slideshow requires JavaScript.

Dah hampir sebulan berlalu, baru punya masa untuk nukilkan mengenai pengalaman di sana. Pemergian disertai oleh tenaga pengajar daerah rezeki yang rata-rata berumur dalam lingkungan 50-60 tahun. Yang muda hanya boleh dibilang dgn jari. Salute kami buat semua orang lama kerana sangat kuat dan bersemangat sekaligus dikurniakan kesihatan yang sangat baik sehingga boleh kalah kami yang muda belia ini dari hari pertama sehingga hari terakhir.

Hari Pertama

Tiba hampir petang dan kesesakan jalanraya menyebabkan tiba di Engking agak lewat. Tetapi suasana dan santapan yang sangat sedap meredupkan banyak hati yang sedikit tergugat gelisah. Pemuzik jalanan yang punya suara mengancam dan menyanyi dalam bas walau hanya berbekal gitar membuatkan kesesakan jalan tidak terasa membebankan. Bermalam di Belpelkes (Balai Perawatan Kesihatan) dgn kemudahan tip-top juga tidak menghampakan langsung.

Hari Kedua

Bangun dengan bersemangat tetapi disulami batuk sejak tiba semalam. Kanda dengan perihatin syorkan saya ambil sesudu ubat batuk buat keselesaan. Dek kerana mahu cepat sembuh, bukan sesudu malah dua sudu yg saya teguk. Hasilnya, tatkala mahu tiba di Tanah Abang, saya jadi sangat mengantuk dan memijak tanah juga seakan tak jejak. Setengah hari di Tanah Abang, termampu saya hanyalah cubaan demi cubaan menahan mata dari terpejam. Nasib ada kanda yang mendukung dan melayan Qaseh. Banyak masa saya hanya bersandar disetiap kedai yang kawan2 singgah bagi menahan diri. Dari Tanah Abang, kami ke Ancol Beach tatkala kesan ubat hampir hilang dan saya menjadi seperti saya yg sebelum-sebelumnya. Ralat kerana tak dapat bershopping gila-gila di Tanah Abang.

Kata kanda: Ada hikmahnya tu hang makan ubat batuk pagi tadi. Takdelah hang berhabis duit shopping yang bukan-bukan.

Amboi, sedap je kanda nye alasan ya. Tetapi RALAT tetap ralat tau….

Hari Ketiga

Usai subuh, lekas-lekas bersiap untuk perjalanan ke Bandung. Nah… berjam-jam dalam bas, sampai juga kami ke Tangkuban Perahu. Gunung berapi yang tidak lagi aktif dan punya sejarah dan mitos tersendiri. Gunung itu seaakan perahu terbalik dek kerana marahnya si jejaka apabila buah hati menolak cintanya dan cinta di tolak kerana buah hati tersebut tersedar semasa berkasih-kasihan bahawa jejaka itu sebenarnya adalah anak bujangnya yang sudah lama tidak bertemu kerana merantau.

Turun dari gunung, kami ke perkampungan Anglung dijamu dengan persembahan dan makanan Sunda yang sangat sedap. Petang kami sempat singgah di Factory Outlet  tetapi hanya sebentar. Impian ke Kartika Sari juga tidak kesampaian kerana tidak punya cukup waktu. Malam dijamu nasi padang dan sampai ke Belpelkes keletihan sehingga saat kepala diletakkan dibantal…terus hanyut lena tanpa mimpi yg dapat menerobos masuk.

Hari Ke empat

Bersiap untuk pulang dengan membawa kenangan manis. Qaseh saya seperti selalu2 memang tidak menghampakan. Telatah dan moodnya yang tak berangin langsung mendapat pujian yang bermacam-macam. Manja bukan main Qaseh saya ini dengan semua orang yang dipanggilnya nenek.

Seronok dapat bercuti beramai-ramai begini bukan. Kalau ada rezeki…..nak bawa satu keluarga pula bercuti selepas ini. Tak dapat ke luar negara…dalam negara pun sudah cukup baik.

Langkawi…..Kuching…….dalam perancangan. InsyaALLAH….

Streamyx

Standard

Dah 2-3 hari talian streamyx bermasalah.Tapi semalam dah elok. Hari sebelumnya kanda  pi menjenguk kedai TM.

SMS di waktu siang

Kanda:  Tadi singgah TM Klana Jaya. Check Streamyx dan buat report. Password pun dah tukar baru. Mlm karang cuba try connect.

SMS di waktu malam usai Maghrib.

Saya:  Kanda, nk try connect. Apa psword?

Kanda:  Mokhtar

Saya: Giler….

Kanda:  Hehe…XXXXX (beri kata laluan yg betul)

Sinis je dia melawak. Tak pasal-pasal DSAI terbabit sama….